Thursday, June 4, 2009


Semangat perkongsian membina negara-bangsa

Oleh Mohd Ayop Abd Razid


1Malaysia tuntut rakyat ketepikan soal warna kulit dalam usaha bentuk budaya lebih cemerlang.ARTIKEL saya minggu lalu berjudul '1Malaysia, hasrat Najib perkukuh negara bangsa' menerima beberapa reaksi daripada pembaca yang dikirim melalui e-mel. Saya tertarik untuk memberi respons terhadap e-mel seorang pembaca yang mahukan penjelasan mengenai konsep negara-bangsa. Memang pengertian mengenai negara-bangsa sering mengelirukan kerana ia adalah soal konseptual. Saya pasti ramai yang memahami konsep 'negara' dan tidak perlu saya sentuh dalam rencana ini. Yang sering menjadi kekeliruan ialah konsep 'bangsa' itu.

Untuk memudahkan kefahaman, saya mengemukakan tiga takrifan mengenai 'bangsa' dengan merujuk kepada buku yang ditulis Profesor Abdul Rahman Embong berjudul Negara-Bangsa, Proses dan Perbahasan (2000). Perbahasan yang dikemukakan beliau bersifat akademik. Namun, saya cuba memberikan takrifan yang mudah supaya senang difahami.

Pertama, bangsa boleh dilihat dari perspektif perundangan. Dalam konteks ini ia berkaitan dengan konsep warga negara yang menakrifkan bangsa Malaysia boleh terbentuk dengan tiga syarat iaitu menjadi warga Malaysia, mengamal cara hidup Malaysia berlandaskan kebudayaan Melayu dan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa harian (Ghazali Shafie: 1995).


Kedua, pengertian 'bangsa' boleh dihurai berlandaskan keturunan darah yang menakrifkan manusia berdasarkan ciri fizikal (biologi) dan budaya yang diwarisinya. Bangsa dalam pengertian ini membawa maksud ras, kaum dan etnik.


Ketiga, 'bangsa' dirujuk sebagai satu 'nation' untuk maksud komuniti politik dalam wilayah tertentu. Bangsa dalam konteks ini tidak dihubungkan dengan konsep ras (kaum) tetapi ditakrifkan sebagai suatu komuniti atau masyarakat politik yang terbentuk dalam proses dan kesinambungan sejarah yang menjadi pembentuk kepada keseluruhan proses pembentukan negara-bangsa itu.
Ia dipertaut lagi melalui 'identiti sepunya' seperti perkongsian wilayah bersama, perkongsian ekonomi bersama, perkongsian masa depan bersama serta unsur-unsur subjektif yang dikongsi bersama merangkumi bahasa, budaya, sastera serta nama kolektif bernama 'Malaysia'. Saya berpendapat maksud bangsa daripada pengertian ketiga itulah yang dikira dapat memberikan takrif agak tepat untuk maksud negara bangsa. Takrif itu juga agak selari dengan pengertian asas mengenai 'negara-bangsa' dalam perjanjian Versailles (1919) iaitu satu perjanjian yang menamatkan Perang Dunia Pertama yang ditandatangani di antara pihak Bersekutu dengan Jerman. Perjanjian berkenaan mentakrifkan sebuah negara harus diasaskan atas bangsa yang disusun dalam satu organisasi (negara). Takrif negara-bangsa Malaysia diperkuatkan Tun Dr Mahathir Mohamad (1991) yang mentakrifkan negara-bangsa dibina dan dibangunkan dengan menyanjung masa depan yang dikongsi bersama, berintegrasi seluruh wilayah dan kelompoknya, menikmati kehidupan bersama berasaskan persamaan hak dan keadilan, menumpukan taat setia dan pengabdian tidak berbelah- bahagi terhadap bangsa. Untuk memastikan bangsa Malaysia sebagai 'nation' dapat direalisasikan, maka ia memerlukan kita merubah kerangka minda kita dengan melihat seseorang warga Malaysia tanpa berdasarkan warna kulit, agama, keturunan dan budayanya (Najib Razak, 2008). Bagi Datuk Seri Najib Razak, dua prinsip utama diperlukan untuk membina negara-bangsa yang bersatu padu iaitu sikap saling menghormati antara satu sama lain dan keyakinan antara satu sama lain. Inilah dua prinsip yang menunjangi konsep 1Malaysia.

Jika kita mahu menyusuri pemikiran Perdana Menteri itu dengan lebih jauh lagi, maka kita dapati bahawa Najib dalam menghurai nilai 'penerimaan' di dalam blognya (www.1malaysia.com.my) membezakan antara toleransi dan penerimaan. Baginya 'toleransi' adalah penerimaan terhadap sesuatu semata-mata berasaskan kita tiada pilihan walaupun apa yang kita sudi terima itu hakikatnya kita tidak menyukainya. Sebaliknya, Najib melihat 'penerimaan' itu lebih bermakna kerana ia memperlihatkan keadaan pemikiran bahawa kita menerima sepenuhnya sesuatu itu secara positif dan penuh kerelaan. Ia mengandungi nilai kepercayaan. Justeru, beliau menyatakan kita perlu mendapat yang terbaik daripada bangsa Melayu, bangsa Cina, India dan semua kaum lain untuk diadun agar secara terkumpulnya kita akan menjadi jauh lebih besar berbanding melihat bilangan kelompok kaum secara terpisah. Satu lagi elemen menarik yang dihuraikan Najib di dalam blog rasminya itu ialah persoalan mengenai kesetiaan. Kesetiaan adalah nilai kelima daripada lapan nilai yang dikenal pasti untuk menjayakan konsep 1Malaysia. Beliau menjelaskan bahawa kesetiaan adalah penting kerana ia adalah asas kepada kepercayaan. Menariknya, beliau menjelaskan bahawa kesetiaan tidak sepatutnya bersifat keterlaluan sehingga menjadikan kesetiaan membuta tuli. Apa yang disebutnya memang benar kerana Islam sendiri melarang kesetiaan membuta tuli kerana ia boleh membawa kepada 'penyucian' dan 'pendewaan' terhadap seseorang, khususnya terhadap pemimpin tertentu. Lebih terperinci lagi, Najib menghurai kesetiaan perlulah bersyarat. Ini dapat difahami apabila beliau menyebut seseorang itu hendaklah setia selagi pemimpin itu setia pada perlakuannya, komitmen pemimpin kepada tugasnya serta berdedikasi. Katanya, kesetiaan tidak bermakna seseorang pemimpin itu tidak boleh dikritik, tetapi kritikan itu hendaklah dibuat dengan cara yang betul, di tempat dan masa yang bertepatan, selain menjelaskan kesetiaan hendaklah disertai keupayaan kerana kita tidak boleh memberikan ganjaran kepada seseorang itu hanya kerana dia setia. Kesetiaan rakyat terhadap negara menjadi prasyarat utama kelangsungan negara-bangsa. Hans Kons dalam bukunya The Idea of Nationalism (1955) menyebut manusia lazimnya cenderung berpaut kepada beberapa jenis kesetiaan sebagai satu bentuk kesedaran sosial dan kesetiaan itu sering berpusat di sekeliling kumpulan berlainan. Namun menurut Kohn, kesetiaan ulung sewajarnya dicurahkan kepada negara-bangsa. Apa pun, daripada lapan nilai yang dihuraikan di dalam blognya itu, Najib meletakkan nilai 'ketabahan' sebagai tulang belakang terhadap ketahanan negara-bangsa. Seperti diungkapnya, kita hendaklah menerima kehidupan sebagai satu siri naik turun yang memerlukan kepada kerja keras, berdedikasi dan yang paling penting ketabahan dalam menghadapi segala dugaan dan rintangan supaya kita berupaya meletakkan diri kita ke pangkal jalan. Kerja keras, berdedikasi dan ketabahan sangat berkait rapat dengan budaya kecemerlangan, iaitu nilai pertama yang dihurai Najib. Baginya, nilai inilah yang melingkungi nilai lain. Prinsip utama di bawah nilai budaya cemerlang ialah meritokrasi dan dari situ akan menjadi ukuran penting sesuatu prestasi atau pencapaian. Kecemerlangan negara-bangsa hanya dapat dicapai melalui budaya kecemerlangan. - BH 27/4/09




No comments: